Sunday, February 27, 2011

CTU 551


TAJUK :

TOKOH AGAMA

DISEDIAKAN OLEH :
NUR AQILAH BINTI JAMALUDIN
GROUP : BMB2Bc

DISEDIAKAN UNTUK :
USTAZ ABD AZIZ BIN HARJIN
PENSYARAH CTU551

PROGRAM :
SARJANA MUDA PENTADBIRAN PERNIAGAAN (KEPUJIAN)
PENGURUSAN SUMBER MANUSIA

TARIKH SERAH :  
28 FEBRUARI 2011


ABSTRAK
Imam masjid hendaklah menjadi pegawai Syarie dalam kariah masjid itu dan mengimamkan solat fardhu dan apa-apa solat berjemaah lain dimasjid itu. Imam juga perlu mengetuai urusan fardhu kifayah ke atas jenazah orang Islam yang mati di kariah masjid itu sehingga sempurna dikebumikan. Khutbah Jumaat dan khutbah Hari Raya juga perlu disempurnakan oleh Imam. . Imam juga hendaklah membimbing Bilal, Siak dan anak kariah masjid dalam menjalankan tugas-tugas Imam.

Tokoh yang dipilih adalah Che Ismail bin Che Min, berusia 50 tahun dan bekerja sebagai seorang polis. Beliau turut menjadi seorang imam di Masjid Al-Amin iaitu masjid di tempat beliau menetap iaitu di Markas Briged Tengah Pasukan Gerakan AM, 43200, Cheras, Selangor. Pada mulanya beliau menjadi seorang bilal, kemudian menjadi Imam 2 pada tahun 2000 dan seterusnya menjadi Imam 1 pada tahun 2003 sehingga kini. Pada tahun ini, genap lapan tahun beliau menjadi seorang Imam manakala telah berkhidmat sebagai seorang anggota polis selama 30 tahun. Pemilihan Imam adalah diatas cadangan pegawai-pegawai Markas Briged Tengah PGA kepada  pihak MAIS. Menurut beliau, pelbagai aktiviti dijalankan di Masjid Al-Amin, antaranya ialah kuliah subuh, ceramah ilmu, gotong-royong, Qiamullail dan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan Islam seperti Maulidurrasul. Beliau turut berkemahiran dalam menguruskan jenazah. Beliau telah mengikuti kursus menguruskan jenazah yang disampaikan oleh Dato Firdaus Ismail pada tahun 1989 di Masjid Negara dan beliau telah mendapat sijil kelayakan. Jenazah daripada kawasan sekitar biasanya diuruskan oleh beliau. Beliau turut menjadi tenaga pengajar bagi kelas-kelas tajwid dan tarannum di kawasan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Banyak perkara yang telah disumbangkan oleh beliau. Beliau banyak berkorban masa untuk membantu saudara Islam dalam mengaji Al-Quran. Beliau juga membantu sesiapa yang memerlukan khidmat beliau dalam menguruskan jenazah. Beliau juga tidak lari daripada mendapat masalah. Antara masalah yang dihadapi beliau adalah mengenai kebersihan dan kekemasan masjid. Bukan itu sahaja, anak-anak kecil yang dibawa oleh ibu-bapa mereka ke masjid kebiasannya bising dan mengganggu solat jemaah yang dijalankan. Beliau juga melihat bagaimana pada masa kini tidak ramai anak muda yang ingin berjemaah bersama di masjid. Kebanyakan anak muda sekarang tidak gemar untuk mendalami ilmu fardhu ain. Harapan beliau adalah supaya masyarakat Islam tidak leka dan alpa dalam menjalankan kewajipan sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi ini dengan tidak memberikan alasan penat untuk tidak menunaikan kewajipan. Beliau turut meminta agar jemaah yang datang ke masjid lebih menghormati rumah Allah dengan tidak membuat bising dan menjaga kebersihan serta kekemasan.

Kesimpulannya, sebagai seorang umat Islam, kita wajib mentaati segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangannya.  Kita perlu sentisa memperjuangkan dan mempertahankan Agama Islam. Janganlah kita lalai dan leka dalam menjalankan tanggungjawab sebagai umat Islam.

ISI KANDUNGAN

1.      Pendahuluan
2.      Konsep
3.      Latar belakang
4.      Kerjaya
5.      Aktiviti-aktiviti masjid
6.      Kemahiran
7.      Sumbangan
8.      Masalah
9.      Harapan
10.  Penutup

1.PENDAHULUAN

Bersyukur kehadrat Ilahi dengan diatas limpah kurniaNya, dapat saya menyiapkan tugasan yang telah diberikan oleh Ustaz Abd Aziz Bin Harjin. Pada cuti semester yang lepas, saya telah berjumpa dan menemubual seorang tokoh Imam berdekatan dengan kawasan perumahan saya iaitu Encik Che Ismail Bin Che Mat. Beliau merupakan imam bagi Masjid Al-Amin Markas Briged Tengah PGA, 43200 Cheras, Selangor.

Selain menjadi seorang imam, beliau juga bekerja sebagai seorang anggota polis berpangkat Sarjan Mejar. Walaupun sudah mempunyai pekerjaan tetap,  beliau tetap berkeinginan untuk menjadi pembimbing dalam mengimamkan jemaah di masjid. Oleh itu, beliau tidak melepaskan peluang yang ada di depan mata dengan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti masjid. Beliau juga sentiasa hadir untuk berjemaah. Dengan kegigihan dan sifat ikhlas yang ditunjukkan beliau, maka pegawai-pegawai Markas Briged Tengah PGA memilih beliau menjadi Bilal dan seterusnya imam 1pada tahun 2003.

Beliau sangat dikagumi dan dihormati oleh penduduk disebabkan status beliau sebagai seorang imam. Walaupun mempunyai  pekerjaan  tetap dibawah Polis Di Raja Malaysia, beliau masih gagah hadir ke masjid dan mengimamkan para jemaah . Sifatnya yang ramah amat disenangi oleh semua.

2.KONSEP

Kaedah-kaedah Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Kariah (Negeri Selangor) 1995 menyatakan bahawa Imam sesuatu masjid hendaklah menjadi pegawai Syarie dalam kariah masjid itu dan mengimamkan solat fardhu dan apa-apa solat berjemaah lain dimasjid itu. Imam juga perlu mengetuai urusan fardhu kifayah ke atas jenazah orang Islam yang mati di kariah masjid itu sehingga sempurna dikebumikan. Khutbah Jumaat dan khutbah Hari Raya juga perlu disempurnakan oleh Imam. Imam perlulah memberikan nasihat dan tunjuk ajar dalam perkara-perkara tentang agama Islam kepada anak kariah  masjid itu sedaya upayanya serta mengetuai, mengawasi dan mengatur pengajaran agama Islam di kalangan anak-anak kariah masjid itu. Imam hendaklah membimbing Bilal, Siak dan anak kariah masjid dalam menjalankan tugas-tugas Imam. Imam juga perlu menghadiri setiap mesyuarat Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Kariah masjid. Imam perlu menerima dan mematuhi setiap arahan yang diberikan oleh MAIS atau Setiausaha MAIS atau oleh Nazir masjid itu.

3LATAR BELAKANG

Nama beliau adalah Che Ismail Bin Che Min. Dilahirkan pada 14 Jun 1961 di Bachok, Kelantan. Beliau berasal daripada Kampung Tangok, Kota Bharu, Kelantan. Tahap pendidikan beliau adalah setakat SRP. Beliau banyak mengikuti kelas-kelas pondok pada waktu malam untuk belajar mengenai ilmu agama Islam dan juga kerap berada di masjid untuk mengikuti kelas fardhu ain yang diajar oleh Tok Guru. Sekarang, beliau menetap di Blok G1/1/6, Markas Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) 43200, Cheras, Selangor.

4.KERJAYA

Pada tahun 1981 iaitu pada ketika beliau berusia 20 tahun, beliau memilih untuk berkhidmat sebagai seorang anggota polis. Beliau masih berkhidmat di bawah Polis Di Raja Malaysia (PDRM) sehingga kini. Tahun ini, genap 30 tahun beliau berkhidmat sebagai seorang anggota polis. Beliau merupakan seorang anggota yang berpangkat Sarjan Mejar. Beliau sekarang bekerja di bahagian Logistik Bekalan Markas Briged Tengah PGA sejak dari tahun 2007.

Pada tahun 1990, beliau dipilih menjadi seorang Bilal. Kemudian menjadi Imam 2 pada tahun 2000 dan seterusnya pada tahun 2003, beliau mengambil alih jawatan Imam 1 kerana Imam 1 pada waktu tersebut akan bersara daripada PDRM. Sehingga kini, sudah lapan tahun beliau berkhidmat sebagai Imam 1 di Masjid Al-Amin Markas Briged Tengah Pasukan Gerakan AM, Cheras, Selangor.

Pemilihan Imam 1, Imam 2, Bilal dan Siak dilakukan tiga tahun sekali didalam mesyuarat agung yang dihadiri oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), pegawai-pegawai Markas Briged Tengah PGA dan ahli-ahli jawatankuasa. Selain itu, pemilihan Ahli Jawatankuasa Kuasa (AJK) Masjid Al-Amin turut dilakukan pada mesyuarat agung tersebut. Pemilihan Imam adalah diatas cadangan pegawai-pegawai Markas Briged Tengah PGA kepada  pihak MAIS. Ini kerana, para pegawai tersebut tahu akan kebolehan anggotanya untuk mengimamkan jemaah. Tugas menjadi seorang imam tidak mudah. Oleh itu, pemilihan yang tepat harus dilakukan. AJK masjid pula kebiasaannya akan dipilih berdasarkan kriteria tertentu mengikut tugas yang disediakan. Pada setiap tahun, akan diadakan meyuarat agung bagi membentangkan penyata kira-kira, aktiviti yang akan dijalankan sepanjang tahun dan sebagainya. AJK juga boleh dirombak semula pada mesyuarat 
agung tahunan ini.

5.AKTIVITI-AKTIVITI MASJID

Menurut beliau, Masjid Al-Amin, Markas Briged Tengah PGA ini menjalankan pelbagai aktiviti. Pada setiap malam kecuali malam Jumaat dan Ahad, pihak Masjid Al-Amin akan mengadakan ceramah ilmu kepada para jemaah yang hadir. Pada hari Khamis malam Jumaat, bacaan Yassin akan diadakan. Pada pagi Sabtu pula, kuliah subuh akan diadakan dimana penceramah dari luar seperti Imam Masjid Negara, wakil daripada JAWI akan dijemput untuk menyampaikan ceramah. Maklumat ini boleh diperoleh berdasarkan notis yang akan ditampal di papan pemberitahuan Masjid Al-Amin. Pada hari Jumaat, imam juga akan mengumumkan aktiviti-aktiviti ceramah pada minggu tersebut dan siapa penceramah yang terlibat kepada jemaah sebelum solat Jumaat dilakukan.

Gotong-royong juga dilakukan bagi memastikan kebersihan masjid terpelihara. Kebiasaanya AJK masjid akan membersihkan kawasan masjid pada setiap hari Jumaat pada jam 8.00 pagi sehingga 10.00 pagi. Gotong-royong besar-besaran akan dilakukan sebulan sekali dimana semua anggota polis Markas Briged Tengah PGA dijemput hadir bagi membersihkan kawasan masjid. Selain itu, gotong-royong juga akan dilakukan jika terdapat majlis-majlis rasmi yang bakal berlangsung di Markas Briged Tengah PGA yang dihadiri oleh tokoh korporat atau pegawai-pegawai PDRM. Bukan kawasan masjid sahaja yang dibersihkan, malah seluruh kawasan Markas Briged Tengah PGA akan dibersihkan. Silaturrahim antara anggota juga dapat dieratkan melalui aktiviti gotong-royong ini.

Qiamullail turut dilakukan oleh Masjid Al-Amin. Kebiasaannya, Qiamullail akan diadakan pada waktu cuti kerana pada ketika ini, ramai jemaah yang dapat mengikuti Qiamullail yang diadakan. Selain itu juga, anak-anak kepada anggota yang kebanyakannya masih belajar dapat mengikuti juga Qiamullail ini kerana tidak terikat dengan waktu belajar pada waktu cuti tersebut. Qiamullail turut diadakan pada bulan ramadhan dimana pada 10 malam terakhir ramadhan, Qiamullail akan diadakan. Beliau memberitahu bahawa Qiamullail yang diadakan pada bulan Ramadhan mendapat sambutan daripada para jemaah yang hadir. Ianya bukan sahaja dihadiri oleh penduduk Markas Briged Tengah PGA itu sendiri, malah penduduk taman perumahan berdekatan turut mengikut serta Qiamullail yang dijalankan.

Beliau turut memberitahu bahawa sumbangan yang diperoleh melalui tabung masjid yang disediakan sekarang ini semakin meningkat. Dahulu, sumbangan yang biasa diterima adalah lebih kurang sebanyak RM900 tetapi sekarang ni sudahpun mencecah RM2000. Beliau melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada para jemaah yang hadir dan memberikan sumbangan ke dalam tabung masjid.  Selepas solat Jumaat, AJK masjid akan mengira jumlah sumbangan yang diterima didalam tabung tersebut, dan akan diserahkan kepada Bendahari masjid. Proses penyerahannya pula mestilah melibatkan bendahari dan tiga orang saksi bagi mengelakkan proses penyelewengan daripada berlaku.

Proses membaikpulih Masjid Al-Amin menggunakan duit sumbangan yang diterima daripada jemaah dan juga duit daripada pihak Markas Briged Tengah PGA. Duit sumbangan yang diterima itu juga turut digunakan untuk membayar kepada penceramah jemputan dimana setiap penceramah yang dijemput akan dibayar sebanyak RM150. Beliau turut memberitahu bahawa RM400 diperuntukkan setiap malam bagi penyediaan moreh kepada para jemaah pada bulan Ramadhan. Bubur lambuk yang disediakan pula memerlukan sebanyak RM100. Menurut beliau, bubur lambuk yang disediakan pada hari biasa biasanya mencukupi bagi penduduk di Markas Briged Tengah PGA ini, tetapi lain pula ceritanya pada hujung minggu. Ini kerana, bubur lambuk yang disediakan turut diambil oleh penduduk taman perumahan berdekatan selepas mereka bersama-sama berjemaah solat asar di Masjid Al-Amin.

Pada 25 Julai 2008, telah berlangsungnya majlis perasmian Masjid Al-Amin oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Turut bersama ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abd. Khalid Ibrahim, Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar, YB. Dato' Dr. Hasan Ali, YB. Dr. Che Rosli, YB. Dr. Shafie Abu Bakar, mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato'Ramli, Pengarah JAIS, Dato' Mohd Khusrin, Pengarah MAIS, Dato' Mohd Adzib, Orang Kaya Hulu Langat, Dato' Abdul Rani, Komander Markas Briged Tengah PGA, Dato' Rosli Mohd Nizam serta ketua-ketua jabatan kerajaan. Bacaan Yassin, tahlil dan doa selamat turut diadakan sebelum menunaikan solat Jumaat. Masjid berharga RM2.5 juta itu mula dibina pada tahun 1995 dan memulakan operasi pada tahun 1997 dimana masjid ini boleh menampung jemaah seramai 1500 orang. Usaha membaikpulih Masjid Al-Amin ini telah giat dijalankan seawal tahun 2007 semata-mata untuk majlis perasmian yang bakal dirasmikan oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj. Perbelanjaan membaikpulih ini juga diperoleh melalui hasil sumbangan orang ramai kepada tabung masjid, dan juga daripada pihak Markas Briged Tengah PGA sendiri.

Apabila ditanya mengenai jemaah yang hadir untuk mengerjakan solat berjemaah, beliau berkata bahawa terdapat sekurang-kurangnya 60 jemaah yang hadir iaitu sebanyak dua saf. Beliau turut memberitahu  jemaah yang hadir akan berkurang apabila waktu cuti umum seperti cuti Hari Raya Cina baru-baru ini  kerana kebanyakannya pulang ke kampung halaman masing-masing. Beliau juga menyatakan bahawa  jemaah yang datang pada bulan Ramadhan untuk melakukan solat sunat tarawikh sangat ramai terutamanya ketika awal Ramadhan sehingga ada yang terpaksa melakukan solat jemaah diluar masjid. Jemaah yang hadir untuk melakukan solat sunat Hari Raya Aidilfitri turut ramai kerana Masjid Al-Amin menjadi tumpuan oleh penduduk kawasan perumahan setempat.

Masjid Al-Amin juga turut menjadi pilihan sekolah-sekolah berdekatan untuk mengadakan majlis seperti solat sunat hajat sempena peperiksaan yang bakal berlangsung seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Selain itu, majlis tilawah Al-Quran dan khatam Al-Quran turut dilakukan di Masjid Al-Amin. Beliau menegaskan, setiap aktiviti atau majlis yang ingin dilakukan di Masjid Al-Amin ini perlulah mendapat kebenaran daripada Komander Markas Briged Tengah PGA. Surat rasmi permohonan untuk menggunakan Masjid Al-Amin untuk mengadakan majlis tertentu di situ perlulah dihantar ke Pejabat Pentadbiran Markas Briged Tengah PGA untuk mendapatkan kebenaran daripada Komander.

Beliau turut memberikan pandangannya mengenai ilmu agama Islam yang suka di pandang mudah oleh masyarakat. Pada pandangan beliau, masyarakat zaman sekarang ini lebih suka untuk memilih ilmu yang senang dan mudah. Maka, mereka itu akan mudah terjebak ke dalam kumpulan ajaran sesat. Beliau turut menyatakan bahawa ilmu agama Islam ini tidak tersembunyi. Jika ajaran yang diajar oleh seseorang itu berada di tempat-tempat tersembunyi dan terdapat pengawalan yang ketat ketika proses pembelajaran berlangsung, maka mungkin ajaran itu bukanlah ajaran Islam yang sebenarnya. Secara mata kasar kita dapat melihat orang itu pandai mengaji dam membaca Al-Quran dengan baiknya, tetapi menyempurnakan sembahyang lima waktunya hanya dengan niat. Bagi kita yang berilmu pengetahuan mengenai agama Islam ini, kita mungkin tidak mudah terpengaruh, tetapi bagi mereka yang inginkan jalan mudah bagi memperoleh ilmu dan tidak mahu ajaran yang terlalu rumit, mereka akan mudah terjebak.

Beliau turut memberitahu, sempena Maulidurrasul yang berlangsung pada 15 Februari 2011 yang lepas, pihak Masjid Al-Amin mengadakan perarakan daripada Dewan Serbaguna Markas Briged Tengah PGA hingga ke Masjid Al-Amin.  Perarakan ini akan dilakukan pada pukul 7.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari, dimana semua penghuni Markas Briged Tengah PGA dijemput untuk berarak dan berselawat sempena kelahiran Nabi Muhamad S.A.W. Ustaz Dzulkarnain Hamzah dijemput hadir oleh pihak Masjid Al-Amin untuk menyampaikan ceramah pada hari tersebut. Jamuan turut disediakan selepas majlis berakhir.

6.KEMAHIRAN

Selain itu, beliau juga mahir dalam menguruskan jenazah. Beliau telah mengikuti kursus menguruskan jenazah yang disampaikan oleh Dato Firdaus Ismail pada tahun 1989 di Masjid Negara dan telah mendapat sijil kelayakan daripada kursus tersebut. Beliau selalu dihubungi untuk menguruskan jenazah di kawasan sekitar. Beliau akan memandikan dan menyembahyangkan jenazah tersebut sebelum diserahkan kepada keluarga jenazah untuk tindakan selanjutnya. Kadangkala, beliau juga akan turut bersama-sama mengiringi jenazah ke kubur untuk menyemadikan jenazah. Beliau akan memandikan jenazah lelaki, manakala jenazah wanita akan dimandikan dan dikafankan oleh ahli-ahli daripada Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) yang telah mengikuti kursus daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan mendapat pengiktirafan daripada JAKIM.

Beliau turut menjadi tenaga pengajar bagi kelas tarannum dan tajwid yang diadakan di masjid dan surau berdekatan. Kelas ini diadakan pada malam minggu dan dijalankan dua minggu sekali. Ahli-ahli yang mengikuti kelas ini adalah lelaki dewasa yang ingin belajar bertarannum dan memperkukuhkan tajwid dalam bacaan Al-Quran. Kelasnya tidak terhad pada satu tempat sahaja. Menurut beliau, kelas akan diadakan di pelbagai masjid di kawasan sekitar. Tujuannya adalah untuk meng'imarahkan masjid tersebut walaupun kelas itu tidak diikuti oleh penduduk setempat. Kelas tarannum dan tajwid ini kebiasaannya habis pada pukul 3.00 ke 4.00 pagi. Kebiasannya ahli-ahlinya akan tidur di masjid sehingga masuknya waktu subuh dan sesudah mengerjakan solat subuh, mereka akan pulang ke rumah masing-masing. Beliau berkata, antara masjid yang kerap menjalankan kelas mengaji adalah Masjid As-Syakirin di KLCC dan Masjid Bukit Aman di Jalan Kinabalu.

7.SUMBANGAN

Banyak perkara yang telah disumbangkan oleh beliau. Beliau banyak berkorban masa untuk membantu saudara Islam dalam mengaji Al-Quran. Beliau juga membantu sesiapa yang memerlukan khidmat beliau dalam menguruskan jenazah walaupun pada waktu itu adalah masa rehat beliau. Beliau sama sekali tidak pernah merungut, malah rasa bersyukur kerana diberi peluang untuk berkhidmat dan menyumbangkan tenaga dalam membantu sesama saudara Islam.

8.MASALAH

Beliau juga tidak lari daripada mendapat masalah. Antara masalah yang dihadapi beliau adalah mengenai kebersihan masjid. Beliau memberitahu bahawa jemaah yang datang biasanya kurang memberi perhatian didalam aspek kebersihan. Kebiasaannya, pada bulan Ramadhan, jemaah yang hadir adalah melebihi daripada kebiasannya kerana mereka ingin menunaikan solat sunat tarawikh. Pada ketika ini, kebersihan masjid tidak terpelihara sepenuhnya. Beliau memberitahu, terdapat sebilangan anak muda terutamanya perempuan, makan dan minum di dalam masjid malah mereka membuang sampah tersebut merata-rata. Sudah berkali- kali beliau mengingatkan semua jemaah mengenai perkara ini sebelum menjalankan solat fardhu Isya’ , tetapi masalah ini tetap dipandang remeh oleh sebilangan jemaah. Beberapa jemaah wanita pernah menasihati remaja perempuan supaya lebih menghormati rumah Allah ini, tapi nasihat mereka hanya bertahan beberapa hari. Selepas itu masalah ini berlaku semula. Bukan itu sahaja, anak-anak kecil yang dibawa oleh ibu-bapa mereka ke masjid kebiasannya bising dan mengganggu solat jemaah yang dijalankan. 

Beliau turut meminta kepada jemaah yang hadir supaya memastikan kekemasan masjid terpelihara. Sesudah solat sunat tarawikh dilakukan, sejadah yang digunakan perlulah dilipat rapi dan disusun semula dengan kemas di tempat yang disediakan. Beliau juga melihat bagaimana pada masa kini tidak ramai anak muda yang ingin berjemaah bersama di masjid. Kebanyakan anak muda sekarang tidak gemar untuk mendalami ilmu fardhu ain.

9.HARAPAN

Harapan beliau adalah supaya masyarakat Islam tidak leka dan alpa dalam menjalankan kewajipan sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi ini. Beliau turut berharap agar masyarakat Islam tidak memberi alasan kekangan masa, penat dan sebagainya untuk tidak beribadah kepada Allah dan tidak menjalankan  tanggungjawab sosial serta amal jariah. Beliau turut meminta agar jemaah yang datang ke masjid lebih menghormati rumah Allah dengan tidak membuat bising dan menjaga kebersihan serta kekemasan.

10.PENUTUP

Kesimpulannya, sebagai umat Islam kita perlulah mentaati perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Kita perlu terus memperjuangkan dan mempertahankan Agama Islam agar tidak berkubur. Kita perlulah menjalankan ibadah dengan tulus dan ikhlas. Janganlah kita lalai dan leka dalam menunaikan kewajipan sebagai umat Islam terhadap yang maha Esa. Lapangkanlah masa untuk mengunjungi rumah Allah untuk menunaikan ibadah. Sesungguhnya melakukan ibadah secara berjemaah adalah digalakkan di sisi Islam. Pahala menunaikan ibadah secara berjemaah adalah 27 kali ganda lebih besar daripada melakukan secara bersendirian.

11.RUJUKAN

TEMUBUAL :

Che Ismail Bin Che Min

LAMAN WEB :

1.      Abd Aziz Bin Harjin